Hari Raya Aidilfitri
Hari Raya Puasa merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat
Islam di seluruh dunia bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadan di mana umat
Islam berpuasa dan beribadat dengan lebih tekun. Hari Raya Puasa bermula
apabila anak bulan kelihatan, menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan
ke sepuluh dalam kalender Hijrah Islam. Anak bulan akan diperhatikan oleh
pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu Maghrib di beberapa tempat
strategik di Malaysia.
Perayaan Hari Raya Puasa bermula stelah perisytiharan dibuat
oleh Pemegang Mohor Besar Raja-Raja, dimana takbir akan bergema di
masjid-masjid menandakan mulanya perayaan Hari Raya Puasa. Pada keesokkan
harinya, pada awal sebelah pagi, sesetengah orang akan pergi membersihkan
perkuburan orang yang disayangi dan berdoa agar roh mereka dirahmati Allah.
Sembahyang Sunat Hari Raya Puasa sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah
pagi, biasanya agak lewat sedikit berbanding Hari Raya Korban.
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan
berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan
memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada
yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan
sebelum ziarah dan menziarahi antara sesama mereka.
Sejarah Tahun Baru Cina
bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah
Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan.
Mereka mencari ikhtiar untuk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya
menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun
dan membakar bunga api siang dan malam.
Perayaan Tahun baru
Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina.
Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’ , ia
menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat cina.
Tahun Baru Cina
melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari
tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan
dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak
sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada
tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan
nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah
rezeki, bunga dan pokok limau.
Perayaan yang bersamaan
dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada
bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor
binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda meriwayatkan,
bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk
mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan
dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia
bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir,
tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab.
Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi
sifat dan untung nasib binatang tersebut.
Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang
beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Muruganatau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.
Thaipusam
dirayakan pada bulan 'Thai' bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Pada hari
Thaipusam, bulan penuh melintasi bintang terang, Pusam dalamzodiak Cancer.
Hari
Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa
yang telah dilakukan selama ini. Tidak
semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon sesuatu hajat
kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu
diadakan sebagai tanda kesyukuran.
Ramai juga
lelaki Hindu yang mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala
dengan warna oren. Perkhidmatan menggunting rambut ini ada disediakan di luar
kuil dengan bayaran tertentu. Ia merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar
nazar.
Bagi yang
memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, kavadi akan dibawa atau dijunjung di atas
bahu atau di atas kepala. Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau
kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan
bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan.
Pembawa kavadi ini terdiri daripada lelaki , perempuan, tua, muda dan
kanak-kanak. Berat dan saiz kavadi ini bergantung kepada kemampuan seseorang.
Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari
tempat masing-masing. Ada yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap
kemenyan dan lain-lain. Dari semasa ke semasa, pembawa kavadi akan berehat di
tangga-tangga tertentu , berehat dan diberi minum.
Pelbagai cara
menyiksa diri bagi menunjukkan mereka memohon ampun. Antaranya ialah berjalan
di atas kasut berpaku.
Mereka melangkah perlahan-lahan mendaki tangga-tangga kuil hingga tiba ke sisi patung
Dewa Murugan di dalam gua Batu Caves. Ada juga yang mencucuk panah besi
pada lidah dan pipi dari kiri ke kanan dengan panah pendek dan panjang. Yang
lain pula mencucuk belakang mereka dengan puluhan mata pancing yang bersaiz 10 sm. Mata pancing itu
disangkut dengan buah limau nipis yang teramat pedih rasanya. Ada juga
mata pancing itu bertali dan ditarik oleh para pembantu.
Boleh dikatakan
semua mereka berada di dalam keadaan separuh sedar.
Pesta Keamatan
Pesta Kaamatan atau di dalam bahasa
kadazan "Magavau" ini merupakan upacara perayaan khas untuk
menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah
amalan secara tradisi kaum kadazandusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau"
ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang kita
rayakan dewasa ini telajh diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni
sebagai Cuti Umum sejak tahun 1960 lagi. Beliau yang bertanggungjawab untuk
mengusulkan agar Pesta Kaamatan ini diisytiharkan sebagai Cuti Umum ialah
Allahyaraham YAB Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, SMN, PSM. SPDK, PNBS, bekas
Ketua Menteri Sabah yang pertama.
Asal Usul Magavau
Terdapat banyak
sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum
Kadazandusun. Walau bagaimanapun ianya tetap membawa maksud yang sama.
Menurut
cerita lisan, Kinoingan ( Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang
anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang
Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi,
maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun.
Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya.
Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan
yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu
ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih
p adi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi
nama "Bambazon".
Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun
memulakan upacara Pesta Kaamatan ( Pesta Menuai ) seperti yang kita rayakan
dewasa ini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang
bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni
padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai (
Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan
ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat
Kaum Kadazandusun akan Penciptanya ( Kinoingan ) yang sanggup mengorbankan anak
kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati
kebuluran.
Perayaan Gawai disambut oleh
masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai
padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada
kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta
Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan
persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di
Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.
Pada hari pesta Gawai, pelbagai jenis
makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu
puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka
sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan
persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka
rasmi Pesta Gawai.
Setelah upacara persembahan selesai,
perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar
'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk kedalam dan diletakkan di serambi
umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan
minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria
sambil menjamu hidangan bersama air tuak.
Salah satu acara paling menarik pada perayaan
Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat
lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.
Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang
Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak
ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamirkan. Anak dara orang Iban juga
akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa
mereka.
Pesta Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau
pokok istiadat dibuang.














good info!
ReplyDeleteThanks ~~~~
ReplyDelete